Foto hiasan
Foto hiasan
Amir Abd Hamid


Ampang: Lima sekawan yang dipercayai aktif dalam kes samun bersenjata di kedai serbaneka 24 jam di Lembah Klang ditahan dalam serbuan berasingan, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semua suspek lelaki warga tempatan berusia 20 hingga 30 tahun itu ditahan di Wangsa Maju dan Pudu, dekat sini.

Menurutnya, operasi itu dilaksanakan susulan laporan kejadian samun termasuk membabitkan sebuah premis serbaneka 24 jam di Taman Keramat Permai, Hulu Kelang pada 29 Januari lalu.

"Siasatan awal mendapati dua suspek masuk ke dalam premis itu dengan seorang daripadanya mengacukan senjata pisau ke arah mangsa yang berada di kaunter bayaran.

"Suspek mengarahkan mangsa untuk membuat penambahan nilai Touch n Go dan mengambil duit di dalam peti wang sebelum mengambil beberapa barang di rak rokok dan rak berdekatan kaunter dengan anggaran kerugian RM1,500," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berikutan itu, polis menahan lima suspek dalam operasi bermula 5.15 petang semalam berdasarkan maklumat dan risikan.

Katanya, polis turut merampas sebuah Perodua Kelisa serta barangan lain antaranya wang tunai RM300, dua gari bersama kunci, sebatang baton berukuran 53 sentimeter dan beberapa pek kad sim prabayar dipercayai hasil samun.

"Siasatan awal mendapati semua suspek memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan saringan ujian air kencing mendapati kesemuanya positif dadah.

"Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 18 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 5:51 PM