Dua beradik maut manakala tujuh lagi cedera  selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Batu Kawa, berhadapan kilang Paragon, Kuching malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Dua beradik maut manakala tujuh lagi cedera selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Batu Kawa, berhadapan kilang Paragon, Kuching malam tadi. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Kuching: Dua mangsa yang maut kemalangan di Jalan Batu Kawa, berhadapan kilang Paragon di sini, malam tadi adalah adik beradik.

Mangsa adalah Giggs Fowler ak Ronnie, 25, pemandu kereta Proton Saga dan adiknya Andreas Mauler ak Ronnie, 23, penumpang belakang, beralamat di Taman Malihah Jaya.

Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lima lagi penumpang Proton Saga adalah dua lelaki berusia 23 dan 25 tahun, seorang wanita berusia 22 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia dua dan empat tahun mengalami kecederaan.

"Pemandu kereta Toyota Mark X, seorang lelaki berusia 21 tahun dan penumpang wanita 27 tahun turut cedera.

"Kejadian berlaku ketika kereta Proton Saga dipandu mangsa dari arah MJC Batu Kawa ke Malihah bertembung dengan kereta Toyota Mark X yang masuk ke laluan itu akibat hilang kawalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan apabila melalui jalan berbatu yang masih dalam projek naik taraf.

"Akibat pelanggaran itu, Giggs Fowler tersepit di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Adiknya, Andreas Mauler yang turut tersepit di tempat duduk belakang disahkan sudah meninggal dunia ketika berjaya dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata, mangsa lain yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapat rawatan lanjut.

"Kenderaan terbabit dibawa ke Balai Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk pemeriksaan Puspakom dan Jabatan Kimia, manakala sampel darah pemandu kereta Toyota Mark X turut diambil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Dalam pada itu, Abang Zainal menasihatkan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Batu Kawa dari arah Moyan/Bau menghala ke MJC terutama di kawasan hadapan kilang Paragon supaya berhati-hati dan memandu dalam kelajuan rendah.

"Ini kerana kawasan ini masih dalam proses naik taraf jalan dan keadaan permukaan jalan berbatu dan tidak rata.

"Dalam tempoh dua hari ini, tiga kemalangan direkodkan di lokasi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 2:06 PM