Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Seorang warga emas kreatif menghasilkan kraftangan daripada ikan buntal di Teluk Gedung, Pulau Pangkor, dekat sini.

Uzair Muhamad Azri, 69, berkata ilham memanfaatkan sumber laut itu bagi dijadikan perhiasan kediaman timbul melihat anak saudaranya melakukan perkara sama pada 2010.

Walau bagaimanapun, anak saudaranya itu mengambil keputusan tidak meneruskan penghasilan kraf berkenaan akibat jatuh sakit pada 2014.

"Pada asalnya saya beli satu unit kraftangan ikan buntal daripada anak saudara saya bagi dijadikan hiasan di rumah. Kemudian apabila dia tidak lagi berniaga, saya ambil keputusan untuk hasilkan sendiri dan jual.

"Saya cuba buat sendiri berkali-kali sehingga dapat hasil yang diinginkan," katanya.

Uzair berkata, proses bagi menghasilkan satu unit kraftangan ikan buntal ini sedikit rumit bagi memastikan ia tahan lama.

"Ikan buntal ini perlu dibelah di bahagian bawahnya supaya segala isi dalaman seperti perut dan organ lain dapat dibuang serta dicuci sehingga benar-benar bersih.

"Selepas dijahit semula dengan tali tangsi, saya masukkan belon melalui mulut ikan buntal dan tiup sehingga ia badannya mengembang semaksimum yang boleh.

"Ia kemudiannya akan digantung secara terbalik supaya segala lendir yang tersisa keluar dan dijemur selama tujuh hari sehingga kering," katanya.

Menurutnya, cuaca yang panas adalah sangat penting pada peringkat akhir penghasilan produk hiasan itu.

"Jika ikan buntal tidak kering kerana hari mendung, lalat akan mula hinggap dan bertelur di badan ikan buntal.

"Akibatnya, ulat pula muncul dan merosakkan permukaan produk hiasan itu," katanya.

Uzair berkata, ikan buntal yang sudah kering akan disembur dengan cat supaya ia kelihatan berkilat dan tahan sekurang-kurangnya 10 tahun.

Bercerita lanjut, harga yang ditawarkan bermula dari RM60 sehingga RM150 bergantung pada saiz dan jenis ikan buntal.

Menurutnya terdapat empat jenis ikan buntal yang digunakannya iaitu ikan buntal duri, buntal landak, buntal landak jarum dan buntal pasir.

"Ikan ini saya dapat daripada nelayan-nelayan sekitar Teluk Gedung. Ikan buntal kebiasaannya terperangkap dalam bubu nelayan bersama ikan lain dan sering dibuang kerana tidak mendatangkan hasil.

"Oleh sebab itu, saya fikir lebih baik saya usahakan menjadi produk hiasan. Corak duri yang ada pada ikan buntal sememangnya menjadikan ia kelihatan menarik sebagai hiasan di rumah" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 1:11 PM