BANGUNAN yang runtuh akibat gempa bumi di Sanliurfa. FOTO Facebook Dhiya' Urrahman
BANGUNAN yang runtuh akibat gempa bumi di Sanliurfa. FOTO Facebook Dhiya' Urrahman
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Penduduk di kawasan yang terkesan dengan gempa bumi di Turkiye kini menjadikan masjid, terminal bas dan khemah yang disediakan sebagai tempat berlindung.

Rakyat Malaysia, Nik Mohd Dhiya' Nik Mohd Rosdi yang menetap di Sanliurfa, Turkiye memaklumkan semua penduduk di kawasan terkesan bencana gempa bumi di negara itu tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menerusi perkongsian video di Facebook menggunakan nama Dhiya' Urrahman, dia berkata mereka dinasihatkan tidak boleh duduk di kawasan perumahan yang kebanyakannya rumah apartment dan flat.

"Tempat kami tinggal di Sanliurfa adalah kawasan bangunan lama berusia antara 30 hingga 40 tahun. Sekarang ini banyak sangat bangunan yang sudah runtuh, berdekatan dengan rumah saya juga ada bangunan runtuh," katanya.

Beliau bersama isteri berada di terminal bas di Sanliurfa sementara menunggu bas untuk pulang ke rumah keluarga mentua di Sakarya.

Menurutnya, beliau akan menetap sementara di rumah mentuanya itu untuk beberapa minggu dan akan pulang semula ke rumah selepas situasi semakin baik.

"Kami reda apa yang berlaku kepada rumah kami. Apabila balik dari Sakarya nanti kalau rumah masih selamat kami akan bawa (barang) pindah keluar tapi jika sebaliknya, kami reda," katanya.

Selain itu, beliau berkata, pasukan keselamatan masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan mengeluarkan mangsa runtuhan bangunan.

Setakat ini, jumlah kematian yang disahkan di Turkiye dan Syria melonjak melebihi 4,300 orang selepas gegaran kuat berhampiran sempadan Turkiye-Syria, yang terbesar diukur pada magnitud 7.8 semalam.

Pasukan tindak balas bencana Turkiye dan Syria melaporkan lebih daripada 5,600 bangunan runtuh di beberapa bandar termasuk banyak blok pangsapuri bertingkat yang dipenuhi penduduk sedang tidur ketika gempa pertama melanda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2023 @ 4:41 PM