SUSPEK yang direman selepas dipercayai terbabit dalam insiden membaling botol ke arah lebuh raya dari sebuah kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru, di sini, yang tular di media sosial, baru-baru ini. Foto Ihsan PDRM
SUSPEK yang direman selepas dipercayai terbabit dalam insiden membaling botol ke arah lebuh raya dari sebuah kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru, di sini, yang tular di media sosial, baru-baru ini. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tujuh individu ditahan termasuk tiga wanita bagi membantu siasatan insiden membaling botol ke arah lebuh raya dari sebuah kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru, di sini, yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tangkapan pertama membabitkan lima individu dibuat antara 3.45 petang hingga 9.15 malam semalam.

"Lima individu yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki berusia 21 hingga 24 tahun dan dua wanita masing-masing berusia 23 tahun bagi membantu siasatan.

"Tangkapan kedua pula dilakukan antara 1.30 pagi hingga 2.15 pagi tadi terhadap seorang lelaki berusia 20 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun. Kedua-dua tangkapan berkenaan dibuat di sekitar daerah Dang Wangi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, hasil tangkapan itu, pihaknya merampas sebuah telefon bimbit dan sepasang pakaian.

"Hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap semua individu yang ditahan mendapati seorang daripada mereka didapati positif dadah jenis ketamin dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hanya dua daripada tujuh individu yang ditahan itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 7 Februari untuk siasatan lanjut, manakala permohonan reman lima lagi individu ditolak.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 268/336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Beliau menasihatkan mana-mana pihak yang terkesan akibat perbuatan berkenaan supaya tampil membuat laporan polis.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan apa-apa kesalahan yang melanggari undang-undang dan tindakan akan diambil," katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi satu minit 43 saat dimuat naik oleh pemilik akaun aplikasi TikTok atas nama @syrupboy memaparkan kejadian seorang lelaki membaling botol, tular di media sosial, baru-baru ini.

Berdasarkan rakaman itu, seorang lelaki dilihat membaling botol dari sebuah residensi mewah dan botol berkenaan dibaling ke arah Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dari arah Ampang menuju ke pusat bandar raya ketika kesesakan berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 2:28 PM