MOHAMMAD Hamdan pada sidang media selepas Program Sehari bersama Bomba. FOTO Rohanis Shukri
MOHAMMAD Hamdan pada sidang media selepas Program Sehari bersama Bomba. FOTO Rohanis Shukri
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Dianggarkan kira-kira RM3.2 billion nilai kerugian bagi harta benda yang musnah direkodkan di seluruh negara akibat kebakaran sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid berkata, secara purata daripada jumlah itu, dianggarkan RM180,000 nilai kerugian harta benda akibat kebakaran direkodkan setiap hari.

"Jumlah nilai kerugian harta benda yang musnah akibat kebakaran ini boleh dianggap sebagai satu pembaziran sekiranya insiden itu dapat dibendung.

"Ini kerana ia boleh digunakan untuk pelbagai keperluan lain termasuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sehari Bersama Bomba di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi.

Mengulas lanjut, Mohamad Hamdan berkata, pihaknya merekodkan kira-kira 130 mangsa yang maut akibat kebakaran di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

"Melihat kepada jumlah ini, secara puratanya adalah seorang maut bagi setiap tiga hari dengan kebanyakan kes kebakaran dilaporkan berlaku di rumah," katanya.

Mohamad Hamdan berkata, pihaknya turut merekodkan kira-kira 300 individu maut akibat lemas ketika melakukan aktiviti riadah di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, secara demografinya, dianggarkan 60 peratus mangsa yang maut akibat lemas berusia antara sembilan hingga 39 tahun.

"Budaya kita lazimnya hanya akan mempunyai kesedaran mengenai keselamatan apabila berlaku tragedi besar seperti tanah runtuh di Batang Kali.

"Namun, kesedaran itu hanya dalam tempoh singkat dan mula dilupakan selepas beberapa waktu tragedi itu berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 2:16 PM