SHAMSUL Iskandar. FOTO Amir Mamat
SHAMSUL Iskandar. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Ayer Keroh: Pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Khas Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri sengaja dijadikan isu oleh pembangkang bagi mengalih perhatian umum kepada perancangan pembangunan kerajaan ketika ini.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, selain itu, isu terbabit dijaja pembangkang yang diketuai Bersatu bagi menutup kelemahan serta isu baharu yang timbul dalam kepemimpinan parti terbabit.

"Jawapan Perdana Menteri itu jelas bahawa pelantikan Nurul Izzah itu tidak membabitkan biaya negara. Dalam hal ini kita harus memberikan tumpuan sebenar kepada belanjawan yang akan dibentangkan Datuk Seri Anwar bulan ini.

"Bagi saya, tujuan pembangkang memainkan isu ini hanya untuk mengalihkan perhatian terhadap belanjawan itu yang saya fikir akan dapat memberikan satu semangat dan suntikan baru kepada rakyat dan negara," katanya selepas merasmikan Dialog Buah Melaka di Hotel Ames, di sini hari ini.

Beliau berkata, Bersatu seharusnya menumpukan kepada siasatan rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap akaun parti berkenaan dan tidak menjadikan pelantikan Nurul Izzah itu sebagai isu besar yang jelas bertujuan memburukkan reputasi Perdana Menteri.

Kelmarin, Anwar dilaporkan terbuka menerima teguran serta kritikan terhadap tindakannya melantik anaknya, Nurul Izzah sebagai Penasihat Khas Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.

Beliau menjelaskan tugas Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah untuk memastikan ketelusan dalam pentadbiran serta memantau urusan perolehan tender kerajaan supaya teratur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 1:35 PM