MOHAMED Azmin (empat kiri) dan Amirudin (lima kiri) bersalaman dengan hadirin di Majlis Ramah Mesra Keadilan Negeri Kelantan. FOTO Zaman Huri Isa
MOHAMED Azmin (empat kiri) dan Amirudin (lima kiri) bersalaman dengan hadirin di Majlis Ramah Mesra Keadilan Negeri Kelantan. FOTO Zaman Huri Isa
Sharifah Mahsinah Abdullah


DATUK Seri Mohamed Azmin Ali menghargai pandangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa beliau antara individu yang berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, walaupun ia hanya pandangan peribadi baginda, beliau tetap menghargainya.

“Dalam Twitter baginda mengatakan ia adalah pandangan peribadi dan baginda juga tidak terbabit dalam politik.

“Saya cukup menghargai pandangan baginda itu dan saya juga membalasnya (melalui Twitter) dan menjunjung kasih kepada baginda,” katanya selepas pertemuan dengan pimpinan PKR Negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir pengerusi PKR Kelantan, Abdul Aziz Abdul Kadir dan tiga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR iaitu Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamarudin Jaffar dan Amirudin Shaari yang juga Menteri Besar Selangor.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam laman Twitter rasminya semalam menyebut beberapa nama yang dilihat baginda berpotensi menjadi Perdana Menteri.

Tunku Ismail bertitah, baginda berpendapat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali antara nama berpotensi menjadi Perdana Menteri.

Nama lain dinyatakan adalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Dalam perkembangan lain, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menasihati pemimpin parti itu dan akar umbi PKR supaya tidak terbabit dalam gejala rasuah semasa pemilihan parti nanti.

“Sebagai pemimpin, saya perlu mengingati semua ahli supaya tidak terbabit dalam rasuah. Ia bagi memastikan perjalanan proses pemilihan nanti bebas daripada gejala itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 9:29 PM