ANWAR ketika istiadat mengangkat sumpah Perdana Menteri di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama.
ANWAR ketika istiadat mengangkat sumpah Perdana Menteri di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama.
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menggalas tanggungjawab dan amanah sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.

"Tugas berat ini akan saya pikul berpandukan kehendak dan nurani rakyat bersama pasukan," katanya menerusi hantaran di Twitter, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Tambun berusia 75 tahun itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini, hari ini.

Turut berkenan menyaksikan istiadat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut hadir bersama enam anak mereka termasuk bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Anwar mencipta rekod tersendiri apabila buat pertama kali dipilih untuk menyandang jawatan nombor satu negara selepas 24 tahun menanti untuk bergelar Perdana Menteri.

Al-Sultan Abdullah berkenan melantik bekas ketua pembangkang itu selepas Perbincangan Khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi.

Pelantikan itu selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 7:01 PM