TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenaan memberikan penghargaan kepada Khalipulizan (tengah) atas sumbangannya mesin dialisisnya. FOTO ihsan MAIPs
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) berkenaan memberikan penghargaan kepada Khalipulizan (tengah) atas sumbangannya mesin dialisisnya. FOTO ihsan MAIPs
Aizat Sharif


Kangar: Niat murni seorang pekerja pembersihan, Khalipulizan Mansur, 54 yang mewakafkan dua unit mesin dialisis bernilai RM80,000 di Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Bangunan Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)-HTF, di sini Rabu lalu mendapat perhatian daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda selaku Yang Dipertua MAIPs menganugerahkan sijil penghargaan kepada Khalipulizan yang turut dikenali sebagai Kali dalam kalangan rakannya bersempena Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali Ke-11 bagi tahun 2023 di Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama, di sini.

Dalam majlis itu juga baginda turut berkenan berangkat untuk singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih dalam kariah berdekatan dan menyampaikan sumbangan MAIPs kepada mereka.

Khalipulizan yang berkhidmat sebagai seorang pekerja pembersihan di pusat perkhidmatan dialisis berkenaan, sebelum ini menyampaikan sumbangan mesin dialisis itu hasil jualan tanah yang dihibahkan kepadanya oleh datuk dan neneknya yang sudah meninggal dunia lebih daripada 10 tahun.

Dia melaksanakan sumbangan berkenaan adalah dengan harapan untuk menambah 'dana saham akhirat' selain memberikan peluang untuk para pesakit buah pinggang menerima rawatan di pusat perkhidmatan dialisis tempat dirinya bekerja.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor melahirkan rasa terharu dan bersyukur atas semangat yang ditunjukkan oleh Khalipulizan dalam menyuburkan amalan berwakaf dan berharap agar usaha seumpama ini dapat dicontohi oleh anggota masyarakat.

"MAIPs amat berbangga dan menghargai sumbangan wakaf yang disumbangkan ini.

"Malah, ia sekaligus menyuntik semangat MAIPs dalam merealisasikan lagi pelbagai projek inisiatif wakaf di Perlis seperti Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF-MAIPs," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada masa sama, MAIPs sedang pesat mengusahakan peluang dana wakaf bagi mewujudkan sebuah Pusat Rawatan Katarak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan HTF selain melaksanakan projek wakaf Pusat Autisme dengan kerjasama pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Masyarakat yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah berwakaf melalui MAIPs boleh berbuat demikian melalui sumbangan terus ke Dana Wakaf Tunai Am MAIPs sama ada melalui sumbangan sekali beri (one-off) atau melalui potongan gaji bulanan.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan usaha murni Khalipulizan yang mengambil keputusan untuk mewakafkan dua buah mesin dialisis bernilai RM80,000 untuk digunakan oleh pesakit yang mendapatkan rawatan itu di pusat perkhidmatan dialisis berkenaan selepas mendapat hasil jualan tanah yang dihibahkan kepadanya oleh datuk dan neneknya yang sudah meninggal lebih 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 12:00 PM