Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperkenalkan wakaf tunai yang boleh dibayar secara tunai melalui dalam talian serendah RM1, manakala melalui potongan gaji serendah RM5 sebulan.

Pengerusi MAINS, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir berkata, kaedah itu bagi memberi peluang lebih ramai umat Islam menyertai dan memberikan sumbangan berbentuk wakaf bagi kepentingan masyarakat terutama yang memerlukan bantuan.

"Wakaf tidak semestinya hanya dengan tanah, bangunan atau lain-lain aset yang berbentuk kekal sebaliknya Islam mengharuskan wakat tunai iaitu berwakaf menggunakan wang tunai.

"Ia sebagai harta yang diwakafkan untuk mengumpul dana wakaf yang kemudiannya ditukarkan kepada harta kekal. Sumbangan wakaf amat penting sebagai pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi.

"Usaha penjanaan wakaf berimpak tinggi ini perlu membabitkan kerjasama dan sokongan semua pihak sama ada agensi kerajaan, swasta dan umat Islam supaya dapat diagihkan kepada golongan atau kumpulan sasaran yang memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sembilan di Menara MAINS, di sini, hari ini.

Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir (tengah) memasukkan sumbangan kepada tabung wakaf di Menara MAINS, di sini, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir (tengah) memasukkan sumbangan kepada tabung wakaf di Menara MAINS, di sini, hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL

Turut hadir, Setiausaha MAINS, Ahmad Husaini Datuk Mustafa dan Ketua Jabatan Wakaf MAINS, Zainal Said Pengurus Jabatan Zakat MAINS, Datuk Nor Azmi Musa.

Pada majlis itu, pengurusan Felda Raja Alias Jempol menyerahkan wang wakaf RM300,000 kepada MAINS.

Dalam pada itu, Dr Abdul Aziz berkata, permintaan bagi penyaluran bantuan dana wakaf kepada aspek kesihatan atau perubatan lebih tinggi berbanding bantuan lain seperti dalam bidang pendidikan, keagamaan dan sosio ekonomi.

Beliau berkata, penyaluran itu berdasarkan permintaan dan keperluan bagi perkhidmatan kesihatan yang sentiasa meningkat berikutan kos perubatan yang mahal dan sentiasa tinggi.

Katanya, kebanyakan penerima bantuan membabitkan penyakit kronik seperti buah pinggang yang memerlukan perkhidmatan dialisis selain penyakit lain seperti darah tinggi, diabetes dan jantung.

"Tuntutan membantu masyarakat dari aspek perkhidmatan kesihatan terus meningkat dan sebagai contoh jumlah pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis semakin bertambah.

"Baru-baru ini, kita (MAINS) menyumbang lapan buah mesin dialisis kepada Hospital Tuanku Ja[afar (HTJ) Seremban, sebagai langkah membantu pihak berkenaan memberikan rawatan kepada pesakit buah pinggang.

"Kita salurkan kepada pihak yang memerlukan terutama pihak hospital supaya ia dapat memberi akses dan kemudahan rawatan khususnya bagi

menampung keperluan pesakit dari golongan kurang berkemampuan termasuk asnaf di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 8:39 PM