KAKITANGAN hospital dan orang ramai membawa mayat dua nelayan ke Hospital Besut untuk bedah siasat. FOTO Mohammad Ishak
KAKITANGAN hospital dan orang ramai membawa mayat dua nelayan ke Hospital Besut untuk bedah siasat. FOTO Mohammad Ishak
Oleh Mohammad Ishak


Jertih: Mayat dua nelayan yang hilang akibat bot karam Rabu lalu ditemui terapung oleh nelayan di Teluk Air Berani, dekat sini, 8 pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Besut Mohd Zailani Abdullah berkata, dua mangsa terbabit iaitu Ahmad Anuar Ismail, 23, dan Ibrahim Kadir, 45, ditemui terapung di permukaan air bersama pukat nelayan.

Menurutnya, nelayan terbabit kemudian menghubungi pasukan bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, pihak berkuasa kemudian membawa kedua-dua mayat terbabit ke jeti nelayan Kuala Besut sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 5.30 pagi Rabu lalu, dua nelayan hilang manakala 23 diselamatkan apabila bot mereka karam selepas terlanggar batu di perairan Pulau Perhentian, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 2:05 PM