GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Penalti bagi jenayah membabitkan hidupan liar lebih tinggi melalui 44 seksyen di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 (Akta A1646) yang dikuatkuasakan mulai hari ini.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dalam kenyataan, berkata penguatkuasaan itu bakal menyaksikan peningkatan penalti bagi jenayah membabitkan hidupan liar, antaranya menyimpan, memburu dan menyeludup.

Menurut kenyataan itu, peningkatan penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar perlu kerana ia kesalahan serius, menyebabkan hidupan liar terancam akibat aktiviti haram itu.

Katanya, jenayah itu dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar merentasi sempadan, selain disifatkan serius dan perlu dihentikan.

Melalui pindaan itu, kesalahan di bawah Seksyen 71 Akta A1646 iaitu mengimport, mengeksport atau mengeksport semula hidupan liar dilindungi sepenuhnya tanpa permit khas, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara maksimum 15 tahun, jika disabit bersalah.

"Peningkatan kadar penalti ini akan memberi mesej jelas kepada penyeludup agar sedar dan berhenti menjalankan aktivitinya, selain bersifat mencegah, bertujuan memastikan hidupan liar terus kekal bagi generasi akan datang.

"Seiring penguatkuasaan Akta 716, PERHILITAN tekad meneruskan operasi penguatkuasaan bersepadu iaitu 'Biodiversity Protection and Patrolling Programme' (BP3) di seluruh Semenanjung," katanya.

Menerusi BP3, PERHILITAN berkata, program Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bersama agensi penguatkuasaan lain akan dilaksanakan, selain ia bakal membabitkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan hidupan liar.

PERHILITAN juga berharap 'Wildlife Crime Bureau' (WC ditubuhkan dibawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), tahun lalu, dapat membantu aktiviti penguatkuasaan Akta A1646.

Katanya, pengukuhan 'Wildlife Crime Unit' dibawah PERHILITAN juga akan dapay membantu mengukuhkan aktiviti penguatkuasaan akta berkenaan bagi konservasi hidupan liar.

"BP3 sudah diperkukuh melalui pelantikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT), Orang Asli dan orang awam sebagai Renjer Hidupan Liar.

"Ia bagi membantu melaksanakan tugas operasi kawalan sempadan, rondaan dan penguatkuasaan dalam kawasan perlindungan serta hutan simpan kekal seluruh Semenanjung untuk menangani isu pencerobohan dan pemburuan haram," katanya.

Sebarang aduan dan maklumat berkaitan gangguan hidupan liar boleh disalurkan kepada PERHILITAN melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 10:43 AM