BOMBA memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital. FOTO Ihsan Bomba.
BOMBA memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital. FOTO Ihsan Bomba.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku ke atas kanak-kanak berusia 12 tahun yang patah tangan kiri selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah rumah pangsa di Jalan Garuda di sini, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 7.31 malam dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin dikerah ke lokasi.

Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zulkarnain Ariffin dengan kekuatan 10 anggota.

"Kanak-kanak lelaki didapati tersangkut di bumbung kedai di tingkat bawah selepas terjatuh dari tingkat 11 bangunan terbabit.

"Anggota kemudian membawa mangsa turun dan dia yang patah tangan kiri diberi rawatan awal sebelum dihantar Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi menerima rawatan," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, operasi tamat pada 8.05 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 12:15 AM