Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Bila ingat kembali (hari kejadian anak terjatuh dari tingkat 11 pangsapuri), saya ada terdengar bunyi dentuman kuat sebelum azan Maghrib.

"Bunyi kuat seperti itu biasa kedengaran di blok ini apabila ada penduduk menjatuhkan sampah dari atas, tidak sangka pula ia bunyi disebabkan anak saya terjatuh ke bawah," kata Ruhayati Rahmat, 56.

Ruhayati memberi reaksi itu ketika menceritakan kejadian anaknya, Muhammad Aizzuddin Abdul Hadi, 12, atau mesra dengan panggilan Zudin meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 11, Blok B, Rumah Pangsa Larkin, di sini.

Suri rumah itu mengakui arwah anaknya itu berkelakuan aneh sebelum kejadian berlaku.

Dia berkata, pada hari kejadian, Zudin demam panas dan tidak pergi ke sekolah di Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri, di sini.

Menurutnya, walaupun cuti sakit, anak bongsunya itu tetap mahu berpakaian baju pendidikan jasmani dengan stokin ketika berehat di biliknya.

Katanya, selepas pulang dari klinik dan pasar, mangsa yang merasakan kesejukan itu menyatakan mahu berehat di dalam bilik tidur manakala dia berehat di ruang tamu.

"Selepas terjaga dari tidur kira-kira 7 malam, dia berlari ke bilik air dan masuk semula ke bilik tidur berulang kali sehinggalah saya menegur perbuatannya itu seperti kena sampuk.

"Zudin yang tidak berkata apa-apa itu dilihat menanggalkan stokin, saya fikir dia mahu sambung berehat semula. Tidak lama kemudiannya, jiran bawah rumah datang mengetuk pintu rumah menyatakan Zudin terjatuh," katanya.

RUHAYATI bersama Abdul Hadi menunjukkan gambar arwah anaknya. FOTO Mary Victoria Dass
RUHAYATI bersama Abdul Hadi menunjukkan gambar arwah anaknya. FOTO Mary Victoria Dass

Ruhayati berkata, hatinya luluh apabila mendengar kata-kata jirannya bagaikan tidak percaya anak bongsu daripada dua beradik itu terjatuh dari rumah.

"Hati saya remuk dan sayu melihat dia dalam keadaan terbaring, apabila suami memanggil namanya, dia masih mendengar dan tercari-cari suara yang memanggilnya," katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berkesempatan mengunjungi Ruhayati dan suaminya, Abdul Hadi Mat Salleh, 50 di kediamannya mereka.

Hairi turut berkesempatan menyampaikan sedikit sumbangan kepada pasangan berkenaan selain mendoakan mereka reda dengan ketentuan takdir itu.

Mangsa pada mulanya dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan kiri selepas terjatuh sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini untuk rawatan.

Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia pada 12.30 malam, kelmarin, ketika menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 7:55 PM