Hakisan pantai berhampiran kawasan perkuburan di Kampung Bari Kecil, di sini. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Hakisan pantai berhampiran kawasan perkuburan di Kampung Bari Kecil, di sini. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak


Setiu: Hakisan pantai yang berlaku di Kampung Bari Kecil, Permaisuri sejak lima tahun lalu setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL) membimbangkan penduduk.

Lebih merisaukan mereka, hakisan yang berlaku menghampiri kawasan tanah perkuburan kampung berkenaan dengan jarak hanya satu meter sahaja.

Tinjauan ke kawasan pantai berkenaan mendapati jarak air laut dengan kawasan perkuburan hanya 20 meter saja berbanding 100 meter sebelum ini.

Malah, jalan yang dibina juga mengalami hakisan teruk serta wakaf dan tandas yang dibina Majlis Perbandaran Setiu (MPS) hanyut ke dalam laut selain puluhan pokok rhu tumbang.

Pengerusi Masjid Kampung Bari Kecil, Mohamad Sabri Mohamad, 70, berkata jika tiada tindakan segera dilakukan, hakisan akan berlaku terhadap kawasan perkuburan.

"Setiap kali hakisan, pihak berwajib hanya melakukan kerja menambun pasir dan ia hanya mampu bertahan sementara sahaja.

"Kita bimbang, jika tidak diambil tindakan jangka panjang, kawasan perkuburan ini akan lenyap dengan hakisan lebih teruk," katanya yang ditemui di Pantai Kampung Bari, di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bari Kecil, Abu Bakar Omar, 41, berkata masalah hakisan itu mula berlaku lebih lima tahun lalu.

Menurutnya, pelbagai cara dan kaedah dilakukan termasuk membuat benteng menggunakan guni, batu sangkar dan pasir bagi menghalang hakisan berlaku.

"Bagaimanapun, usaha yang dilakukan hanya bertahan sementara apabila datang musim MTL, semuanya musnah dipukul ombak besar.

"Jika mahu ikutkan, peruntukan keseluruhan untuk kerja-kerja menghalang daripada hakisan itu lebih RM700,000 sejak hakisan ini berlaku," katanya.

Abu Bakar berkata, kira-kira 500 penduduk kampung sekarang hanya mahu menyelamatkan kawasan perkuburan daripada hakisan.

Menurutnya, pihaknya sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak berkenaan bagi mengalihkan kubur yang berhampiran dengan hakisan.

"Tanah perkuburan ini berusia lebih 100 tahun ini menempatkan 410 kubur dan kita bercadang mahu mengalihkan 150 kubur yang berhampiran dengan hakisan ke perkuburan baru.

"Kita harap proses mengalihkan kubur dapat dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan hakisan merebak dan memusnahkan kawasan perkuburan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 4:47 PM