Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Suntik ketamin dalam botol jus kultur, beri hitam dan teh ais limau sebelum diedarkan kepada penagih dan kelab malam.

Taktik licik bagi mengaburi mata pihak berkuasa itu terbongkar selepas polis memberkas pasangan suami isteri yang disyaki mendalangi kegiatan haram itu, Sabtu lalu.

Menerusi penahanan suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun dan isterinya warga Thailand berusia 28 tahun, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk serbuk dan cecair ketamin, pil ekstasi, ganja dan pil eremin 5 serta menyita harta suspek bernilai keseluruhan, RM239,191.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah memberkas suspek lelaki di parkir kenderaan di kawasan Banda Hilir sekitar 8 malam.

CHRISTOPER (tengah) dan pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
CHRISTOPER (tengah) dan pegawainya menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

Katanya, suspek kemudian membawa polis ke satu lot pangsapuri hingga membawa kepada penangkapan wanita warga Thailand berusia 28 tahun yang juga isterinya.

"Suspek menyuntik cecair dadah ketamin ke dalam botol jus minuman sebelum ditutup semula dan difahamkan sebotol dadah dicampur jus beri dan teh ais ini berharga lebih RM300, manakala dalam botol minuman kultur, RM150.

"Keseluruhan dadah dirampas bernilai RM206,511 dan boleh digunakan oleh 3,669 penagih dadah," katanya katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek direman enam hari mulai Sabtu lalu bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 1:55 PM