Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Taktik licik lelaki dalam urusan penghantaran dadah tidak berjaya apabila perbuatannya dikesan polis di kondominium di Lebuh Sungai Pinang 2, Jelutong, di sini, kelmarin.

Penahanan suspek berusia 20 tahun itu juga membawa kepada pembongkaran unitnya di kondominium berkenaan yang dijadikan tempat memproses dadah ke dalam jus minuman.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek ditahan di lobi kondominium pada 2.40 pagi dan pemeriksaan menemukan bungkusan plastik mengandungi 15 peket hitam yang setiap satunya berisi serbuk disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

Katanya, polis turut menahan teman wanita suspek berusia 21 tahun di dalam unit berkenaan.

"Pemeriksaan di unit itu menemukan 2,396 gram campuran serbuk disyaki dadah jenis MDMA, ketamin (338.5 gram), pil ecstasy (576 biji) dan pil erimin 5 (390 biji) yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM77,318.00.

"Turut ditemukan adalah peralatan bagi memproses campuran dadah jenis MFMA dengan minuman pelbagai perisa," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu didapati negatif dadah dan suspek tiada rekod jenayah lampau.

Mengulas lanjut Soffian berkata, siasatan mendapati suspek yang bertindak sebagai penghantar bekalan menerima arahan menerusi aplikasi 'WeChat' dan tidak mengenali pemberi arahan terbabit.

Katanya, selepas menghantar bekalan, wang yang diterima daripada pelanggan akan diserah kepada 'pemberi arahan' menerusi pelbagai cara di lokasi tertentu dan suspek menerima upah antara RM500 hingga RM800 setiap kali selesai penghantaran.

"Bungkusan peket berkenaan dibuka dan diisi semula dengan 'jus dadah' mengikut perisa dan permintaan pelanggan di pasaran Pulau Pinang.

"Sindiket berkenaan dipercayai bermula sejak Januari lalu dan rumah terbabit adalah unit yang disewa oleh abang suspek," katanya lagi.

Polis turut merampas kenderaan serta wang berjumlah RM1,100 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM136,918.

Menurut Soffian, polis sedang mengesan individu lain yang terbabit termasuk abang kepada suspek.

Katanya, seorang lagi suspek lelaki memproses dan membungkus dadah berkenaan namun kedua-dua suspek tidak mengenalinya.

SOFFIAN (tengah) menunjukkan antara pelbagai jenis dadah yang dirampas. FOTO Danial Saad
SOFFIAN (tengah) menunjukkan antara pelbagai jenis dadah yang dirampas. FOTO Danial Saad

"Individu berkenaan dipercayai memproses bekalan di unit kediaman itu pada waktu tertentu ketika kedua-dua suspek tiada di rumah.

"Kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 22 Februari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 12:11 PM