Samadi Ahmad

Putrajaya: Sebanyak 45 peratus daripada 10,220 pengusaha kantin seluruh negara 'gulung tikar' kesan pandemik Covid-19 selain isu kenaikan harga barangan ketika ini.

Jurucakap Solidariti Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia, Rushdi Abdul Majid berkata, pihaknya mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula dan menyelaras harga makanan dijual di sekolah susulan kenaikan mendadak harga bahan mentah.

Menurutnya, harga makanan yang terikat dengan kontrak dan kadar RM2.50 bagi Semenanjung Malaysia dan RM3 bagi Sabah dan Sarawak mengikut Rancangan Makanan Tambahan (RMT) tidak lagi relevan susulan kenaikan mendadak kos bahan mentah.

Katanya, pihaknya mencadangkan KPM menaikkan harga RMT kepada RM4.50 bagi Semenanjung Malaysia dan RM6 bagi Sabah dan Sarawak.

"Pihak kami memberi tempoh dua bulan untuk KPM mengkaji semula dan menentukan harga baharu makanan. Sekiranya masih tiada maklum balas, kami akan hadir semula ke sini. Dikhuatiri akan lebih ramai wakil pengusaha kantin akan menyerahkan memorandum akibat masalah sama, "katanya selepas menyerahkan memorandum kepada KPM di sini, tadi.

Memorandum diserahkan kepada Pegawai Khas Menteri Pendidikan, Mohd Sabiq Aiman dan turut dihadiri empat wakil soladiriti berkenaan.

RMT dilaksanakan sejak 1979 dan kali terakhir dinaikkan pada 2015 sebagai makanan tambahan kepada pelajar sekolah rendah daripada keluarga berpendapatan rendah,

Rushdi berkata, selain kenaikan kadar RMT, sebanyak tujuh isu lain dibangkitkan dalam memorandum itu antaranya permohonan lanjutan moratorium, lanjutan kontrak bagi semua pengusaha kantin dan menghentikan penjualan makanan dan minuman selain dijual di kantin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 3:06 PM