ANGGOTA RELA mengawal laluan masuk  Depot Imigresen Sementara Relau berikutan kejadian pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri. FOTO Luqman Hakim Zubir.
ANGGOTA RELA mengawal laluan masuk Depot Imigresen Sementara Relau berikutan kejadian pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri. FOTO Luqman Hakim Zubir.
M Higzuddin Ikhsan dan Izad Thaqif Hassan


Bandar Baharu: Saksi yang melihat tahanan imigresen yang dilanggar kenderaan ketika melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, awal pagi hari ini memberitahu sempat mengajar seorang daripada mangsa mengucap syahadah.

Syamsuddin Che Adni, 29, penduduk Kampung Relau berkata, dia memangku kanak-kanak perempuan sebaik dilanggar dan mengajarnya mengucap meskipun tidak tahu sama ada budak yang dianggar lapan tahun itu masih bernyawa atau tidak.

Dia sebelum itu mengekori tahanan yang melarikan diri bersama beberapa rakan.

"Saya dan rakan yang mengekori kumpulan tahanan terbabit sudah menjerit memberi amaran supaya mereka tidak melintas di lebuh raya berkenaan.

"Bagaimanapun, mereka tetap berdegil hingga enam daripadanya terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak dilanggar beberapa kenderaan," katanya.

SYAMSUDDIN Che Adni. FOTO Luqman Hakim Zubir.
SYAMSUDDIN Che Adni. FOTO Luqman Hakim Zubir.

Menurutnya, kejadian itu berlaku di depan matanya, namun dia dan rakan-rakan tidak mampu berbuat apa-apa kerana kenderaan bergerak laju.

"Saya hanya mampu melihat tubuh mereka dirempuh treler sebelum tercampak dan dilanggar pula kenderaan lain," katanya.

Syamsuddin berkata, sebelum insiden berkenaan, dia berada di luar rumahnya dan hairan apabila melihat ramai tahanan berjalan keluar dari pusat tahanan imigresen berhampiran.

"Ketika itu, tahanan terbabit menjerit melaungkan perkataan bebas dan saya ada bertanya punca mereka melarikan diri, dan dimaklumkan ada seorang kawan mati dalam pusat tahanan terbabit kerana tidak diberi ubat," katanya.

Menurutnya, dia kemudian meminta bantuan rakan sekampung untuk mengekori semua tahanan terbabit yang berjalan tanpa kasut sejauh lebih 10 kilometer (km) hingga ke lebuh raya.

Katanya, mereka cuba berlembut kerana tidak mahu tahanan terbabit bertindak ganas dalam kumpulan ramai.

Syamsuddin turut memberitahu dia dan rakannya mengambil kesempatan menangkap tahanan di kelompok belakang kumpulan, yang dilihat keletihan.

Berita berkaitan:

  • https://www.hmetro.com.my/utama/2022/04/833885/6-pati-larikan-diri-maut-kemalangan-metrotv
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 2:54 PM