Bomba sedang memadam kebakaran belukar. FOTO ihsan BOMBA
Bomba sedang memadam kebakaran belukar. FOTO ihsan BOMBA
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 9,198 panggilan kecemasan berkaitan kebakaran terbuka di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, ia membabitkan kebakaran kategori kebun dan ladang, hutan, belukar, lalang serta sampah.

Menurutnya, keadaan cuaca panas dan kering pada Mac lalu menyebabkan berlaku peningkatan kes kebakaran berbanding Januari dan Februari lalu.

"Pada Mac lalu, sebanyak 4,935 kes direkodkan berbanding hanya 746 kes pada Januari dan 3,517 kes pada Februari.

"Daripada jumlah itu, kebakaran belukar dan lalang merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 6,584 kes diikuti kebakaran hutan (1,149 kes), kebakaran sampah (1,053 kes) dan kebun dan ladang (412 kes).

"Sabah mencatatkan kes kebakaran tertinggi sepanjang tiga bulan lalu iaitu sebanyak 1,557 kes diikuti Kedah (1,541 kes), Johor (1,021 kes), Melaka (746 kes) dan Selangor (608 kes)," katanya ketika dihubungi.

Nor Hisham berkata, orang ramai terutama pekebun dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang pembakaran terbuka.

Katanya, orang ramai diminta menghubungi JBPM sekiranya ternampak kebakaran bagi membolehkan tindakan segera diambil bagi menghalang ia daripada merebak.

"Kita bersedia menghadapi sebarang insiden kebakaran dan pemantauan dilakukan di kawasan yang berisiko berlaku pembakaran terbuka seperti tanah gambut dan lalang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2024 @ 2:17 PM