GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan dalam tempoh 10 tahun Op Selamat dilaksanakan, fokusnya bagi melancarkan lalu lintas dengan meminimumkan kes kemalangan dan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, bersempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 22 dan 23 Januari ini, PDRM akan melaksanakan Op Selamat 19 di seluruh negara, bermula dari 18 Januari hingga 27 Januari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi, Op Lancar turut dilaksanakan di kawasan hotspot yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas, akibat pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.

"Petugas PDRM juga akan ditempatkan di lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna.

"Seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) serta rondaan Bit, akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran.

"Pengguna jalan raya diminta memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan.

"Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar semalam menyatakan tindakan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya di musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 9:57 AM