GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Imigresen (JIM) membatalkan Sistem Temujanji Online (STO) di beberapa pejabat pengeluar pasport di seluruh negara disebabkan peningkatan permohonan pasport antarabangsa Malaysia (PMA) sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan sistem di beberapa pejabat pengeluar pasport di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, langkah itu bertujuan mengatasi kesulitan yang dihadapi oleh rakyat bagi mendapatkan PMA selepas berlaku peningkatan mendadak berikutan pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.

Menurutnya, pemansuhan STO ini membabitkan semua pejabat pengeluar pasport di luar Lembah Klang bermula 9 Mei dan bagi Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka bermula 16 Mei.

Menurutnya, bagi pemohon yang sudah menerima tarikh janji temu melalui STO mulai 16 Mei tidak perlu lagi mematuhi tarikh diberikan.

Katanya, semua pejabat pengeluar pasport di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka akan beroperasi pada Sabtu mulai 8 pagi hingga 1 tengah hari bermula 14 Mei.

"Waktu pengoperasian kaunter Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru akan dipanjangkan sehingga 10 malam bermula 16 Mei," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, secara purata JIM menerima permohonan PMA bagi mencecah 8,000 sehari di seluruh negara.

Menurutnta, bermula 1 sehingga 26 April sebanyak 151,173 PMA sudah dikeluarkan di seluruh negara.

"Ia peningkatan sebanyak 40 peratus ini berbanding sebelum pembukaan sempadan pintu negara, dan ia tepat seperti jangkaan JIM," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, JIM juga menyediakan perkhidmatan permohonan PMA tanpa perlu melalui STO di Putrajaya yang mana semua permohonan di bawah kategori baharu, warga emas, orang jurang upaya (OKU), pelajar, kanak-kanak dan pemohon yang akan menunaikan haji boleh terus hadir ke kaunter.

Bagaimanapun, katanya, bagi permohonan pembaharuan PMA, Pejabat Pasport Putrajaya hanya akan memproses permohonan yang dibuat dalam talian dan hanya pemohon yang sudah menerima notifikasi melalui emel sahaja akan diberi perkhidmatan.

Katanya, orang ramai digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pejabat pengeluar pasport cawangan dan UTC berdekatan di seluruh negara.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengambil sikap menunggu hingga saat akhir dan perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengurangkan kesesakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 3:01 PM