Aizat Sharif


Arau: Pekan Warisan Bandar Diraja Arau yang berusia lebih 100 tahun boleh diwartakan sebagai bandar warisan sejarah dalam usaha kerajaan negeri menjadikan bandar berkenaan sebagai destinasi pelancongan sejarah di Perlis.

Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, Arau adalah bandar bersejarah dan kerana itu juga, ia dinamakan sebagai bandar diraja.

"Saya melihat Arau ini memang berpotensi untuk diwartakan sebagai bandar warisan sejarah berikutan sejarahnya yang sudah lebih daripada 100 tahun dan pada masa sama, warisan sejarah ini berpotensi untuk diangkat sebagai destinasi pelancongan di Perlis.

"Kita tiada masalah untuk memberi sokongan bagi memastikan Arau menjadi bandar tumpuan pelancong disebabkan kekayaan sejarah dan warisannya itu selain sesuai dengan kewujudan Stesen Kereta Api Arau," katanya semalam.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Lawatan Menteri Besar Perlis ke Tapak Rumah Warisan Arau dan Projek Pekan Warisan Bandar Diraja Arau.

Terdahulu, Mohd Shukri meluangkan masa meninjau Rumah Warisan Arau dan Projek Pekan Warisan Bandar Diraja Arau di lokasi berhampiran Stesen Kereta Api Bandar Diraja Arau.

Rumah Warisan Arau yang juga rumah tradisional Perlis menempatkan pelbagai khazanah silam yang pernah menjadi nostalgia dalam kehidupan masyarakat.

Ia seperti koleksi motosikal Honda C70, basikal lama, mesin taip, pelita serta telefon.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Wan Badariah Wan Saad, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh Megat Hashirat Hassan, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar Norazlan Yahaya dan Pengarah Ummul Travel and Tour Sdn Bhd Rizwan Ahmad Badarudin.

Menurut Mohd Shukri, selain itu, Perlis juga memiliki tarikan pelancongan lain seperti masjid negeri dan Nat (Pasar) Pokok Getah, Pauh.

"Oleh itu, sesuai untuk kita pastikan bahawa pelancong yang datang ke Perlis terutama menerusi perkhidmatan kereta api elektrik (ETS) ini, dapat menginap sehari dua di Arau untuk menikmati segala produk pelancongan yang ada," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri dalam proses menghantar permohonan kepada kerajaan untuk mewartakan Arau sebagai lokasi bersejarah.

"Berdasarkan pemerhatian saya, Arau sewajarnya tidak ketinggalan sebagai destinasi pelancongan di negeri ini malah pekan lama Arau juga dalam proses pemuliharaan untuk mengembalikan warisan lama di bandar ini," katanya.

Sementara itu, Rizwan yang juga pengelola Rumah Warisan Arau berkata, tanah di sekitar kawasan Pekan Warisan Bandar Diraja Arau itu pada asalnya adalah tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) sejak 1920 dan kemudiannya dipajakkan kepada Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

"Kemudian, pada 2012, tapak kawasan itu sudah dikosongkan dan kami menyewa tanah berkeluasan 1.42 hektar itu untuk membangunkan Galeri Rumah Warisan Arau, kedai warisan dan hub produk tempatan.

"Pada masa sama, kira-kira dua bulan lagi, kami akan melancarkan tapak ini untuk dijadikan sebagai Pekan Warisan Bandar Diraja Arau dengan dorongan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 4:41 PM
MOHD Shukri (berkopiah putih) bersama-sama barisan exco kerajaan negeri Perlis melihat Rumah Warisan Arau yang memperagakan pelbagai barang antik. FOTO Aizat Sharif
MOHD Shukri (berkopiah putih) bersama-sama barisan exco kerajaan negeri Perlis melihat Rumah Warisan Arau yang memperagakan pelbagai barang antik. FOTO Aizat Sharif