GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Aizat Sharif


Arau: Kekosongan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Arau disahkan sebagai memberi laluan kepada penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk mewakili gabungan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi PN Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, kekosongan itu berlaku pada saat akhir disebabkan rundingan antara gabungan itu dan PAS Pusat dengan Shahidan masih berlangsung dan belum dimuktamadkan.

"Betul, PN nak beri laluan kepada Shahidan tetapi kita tunggu 'lampu hijau' daripada PN dan PAS Pusat.

"Cadangannya lebih sebegitu, apa pun kita perlu tunggu keputusan kedua-dua pihak mengenai perkembangan ini," katanya hari ini.

Shahidan bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan mengenai perkembangan ini namun, beliau semalam membayangkan untuk terus kekal bertanding di Parlimen Arau apabila namanya digugurkan oleh Barisan Nasional (BN).

Malah, Shahidan turut mendedahkan bahawa beliau memang menerima 'lamaran' daripada banyak parti yang mahukannya meneruskan bertanding di Parlimen Arau.

Selain PN, Parti Warisan Perlis (Warisan) turut tidak mengumumkan calon mereka di Parlimen Arau sehingga menimbulkan spekulasi dua kekosongan calon di PN dan Warisan disimpan untuk Shahidan.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis menjelaskan bahawa berdasarkan situasi semasa, PN negeri mahu memberi laluan kepada Shahidan atas faktor beliau adalah 'calon boleh menang' dan dilihat mampu meningkatkan gelombang gabungan itu di Arau.

"PAS tidak ada masalah namun saya tidak pasti dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apapun saya rasa mereka juga tidak ada masalah dan saya mengharapkan ia akan jadi kenyataan.

"Saya percaya penyokong PAS di peringkat akar umbi akan merestui keputusan itu kerana ketaatan kepada parti," katanya.

Mohd Shukri menjangkakan pengumuman rasmi calon kerusi Parlimen Arau akan diumumkan bersama calon PN Terengganu dan Kelantan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 12:44 PM