Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Sasar motosikal diletak di kawasan sunyi dan ekzos kereta model lama untuk dicuri sebelum dijual bagi mendapatkan wang.

Itu modus operandi dilakukan lima lelaki yang terbabit dalam kegiatan mencuri sebelum ditumpaskan polis kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, penahanan tiga lelaki dan dua lelaki warga Myanmar berusia 19 hingga 21 tahun itu susulan laporan polis diterima berhubung kehilangan motosikal pada 12 Januari lalu di Taman Muda, di sini.

Menurutnya, susulan itu, pada 11.30 pagi hingga 6.45 petang kelmarin, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ampang Jaya menahan suspek yang tidak bekerja di sekitar Ampang dan Sentul, Kuala Lumpur.

"Rampasan dilakukan polis membabitkan empat motosikal dan dua rangka motosikal.

"Semakan mendapati tiga motosikal dan dua rangka motosikal dilaporkan hilang dalam kawasan Wangsa Maju, Setapak dan Jinjang, manakala motosikal dilaporkan hilang dalam daerah Ampang," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa alatan sepana, alatan mesin gerudi gergaji, set gantian (cover set) motosikal, beberapa ekzos kereta yang dipotong dan komponen motosikal dileraikan.

"Suspek pertama memiliki tiga rekod jenayah, suspek kedua tiada rekod jenayah, suspek ketiga miliki 12 rekod jenayah, suspek keempat miliki 12 rekod dan satu rekod masih dikehendaki manakala suspek kelima tiada rekod jenayah.

"Ujian air kencing ke atas suspek pertama sehingga suspek keempat didapati positif dadah methamphetamin manakala suspek kelima negatif dadah," katanya.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 20 Januari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan mencuri kenderaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 3:02 PM