GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang: Pemandu lori ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kabel di Taman Ampang Utama, di sini, mengakibatkan kerugian RM6,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, terdahulu polis menerima laporan daripada seorang juruteknik berhubung kerosakan talian dialami pelanggannya pada 11.49 pagi kelmarin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan didapati kabel talian telefon dicuri di mana jumlah kabel yang dipotong dianggarkan sebanyak empat batang pelbagai saiz sepanjang 150 meter.

"Sepasukan anggota polis kemudian menahan pemandu lori berusia 34 tahun di Overseas Union Garden (Taman OUG), Kuala Lumpur kerana disyaki terbabit dengan kes yang disiasat pada 11.10 malam kelmarin.

"Pihak polis turut membuat rampasan kunci, lori, mesin pemotong dan wayar kabel bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan amphetamine.

"Semakan mendapati lelaki itu mempunyai 16 rekod jenayah, dua rekod jenayah berkait kes dadah dan satu rekod dikehendaki polis atas kesalahan dadah.

"Siasatan awal pihak polis mendapati suspek terbabit dengan satu kes di daerah Ampang Jaya, Selangor dan dua kes di daerah Brickfields, Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, suspek direman empat hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 2:09 PM