Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta. - Foto Ihsan Bomba
Noor Hidayah Tanzizi


Sitiawan: Tiga maut dan dua parah apabila kereta yang dinaiki merempuh lori kren Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Seri Kayan Lekir di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.55 malam itu, tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi parah dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.56 malam.

Katanya, anggota yang tiba di lokasi mendapati berlaku kemalangan membabitkan kereta jenis Toyota Altis yang merempuh bahagian tengah sebuah lori kren yang sedang membelok ke kanan.

"Anggota yang tiba mendapati dua mangsa tersepit di tempat duduk depan kereta manakala dua lagi di tempat duduk belakang.

"Seorang lagi mangsa yang parah sudah dikeluarkan orang ramai sebelum anggota tiba dan dihantar ke hospital.

"Anggota bomba kemudian mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkan mayat mangsa yang meninggal dunia kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 7:26 AM