ANGGOTA bomba ketika melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba ketika melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO Ihsan Bomba
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Pemuda maut apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian jam 1.30 pagi dekat Kampung Padang Midin itu menyebabkan mangsa, Muhammad Arif Marwan Ismail, 23, dari Kampung Sungai Rengas, di sini, yang dipercayai parah selepas tersepit dalam kenderaan yang remuk maut di tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.37 pagi.

Susulan itu, dua jentera bomba membabitkan tujuh anggota termasuk dua anggota unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba dilokasi, kita mendapati sebuah kereta Proton Waja berada dalam longkang dengan di dalamnya terdapat seorang lelaki tersepit di tempat duduk pemandu.

"Anggota menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.

"Pemeriksaan dilakukan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa lebih setengah jam bagi mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk urusan lanjut.

Katanya, kerja-kerja mengeluarkan kenderaan terbabit yang remuk dilakukan menggunakan khidmat jengkaut sebelum operasi selesai sepenuhnya jam 3.56 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 January 2023 @ 12:51 PM