MUHAMMAD Amir maut selepas kereta dipandu merempuh jengkaut. FOTO Faizul Azlan Razak.
MUHAMMAD Amir maut selepas kereta dipandu merempuh jengkaut. FOTO Faizul Azlan Razak.
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Mekanik maut apabila kereta dipandu merempuh belakang sebuah jengkaut di Kampung Buluh Gading, di sini, hari ini.

Kejadian jam 3 petang itu menyebabkan mangsa, Muhammad Amir Izuan Sulong, 28, maut di tempat kejadian, manakala kereta Perodua Kancil dipandu remuk teruk.

Rakan sekerja mangsa, Tengku Ahmad Faizal Tengku Adnan, 26, berkata arwah dalam perjalanan dari tempat kerja di Kampung Pengkalan Setar, ke Gong Badak untuk menghantar mesin.

Menurutnya, dia mengetahui Muhammad Amir yang tinggal di Kampung Che Hassan, Gelugor Kedai, di sini, ditimpa kemalangan daripada seorang lagi rakan.

"Saya yang ketika itu berada di Gong Badak bergegas ke lokasi kejadian.

"Ketika itu, saya belum tahu Muhammad Amir sudah meninggal dunia, dan sebaik tiba saya terkejut melihat mangsa sudah tidak bernyawa," katanya yang ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Tengku Ahmad Faizal berkata, dia kehilangan rakan kerja yang baik dan banyak membantu orang.

"Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebaliknya sentiasa ceria dan bergurau seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, sepasukan tujuh pegawai dan anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit, sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 10:04 PM