ANTARA barangan yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan Polis
ANTARA barangan yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan Polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Petaling Jaya: Peniaga kerugian RM300,000 selepas ditipu pasangan kekasih yang menawarkan pelaburan mendapatkan visa pelancong serta pekerja warga asing dengan keuntungan RM6,000 bagi setiap visa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa berusia 33 tahun berkenalan dengan seorang lelaki yang menawarkan pelaburan itu pada April tahun lalu.

"Dalam tempoh perkenalan itu, suspek meyakinkan mangsa sehingga mendorongnya menyerahkan wang tunai dan pindahan wang berjumlah RM300,000 ke dalam akaun bank tempatan untuk 50 permohonan visa pekerja asing.

"Dalam masa sama, pengadu juga ada menyerahkan satu pasport untuk permohonan visa pekerja. Namun, hasil semakan mendapati surat pengesahan penerimaan permohonan daripada Imigresen diserahkan oleh suspek kepada mangsa adalah palsu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, suspek kemudian gagal dihubungi dan menghilangkan diri sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Sea Park, di sini, berhubung kejadian itu pada Julai tahun lalu.

"Hasil maklumat dan risikan dilakukan, kami menyerbu dua unit kondominium di Kuala Lumpur yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing masing-masing berusia 33 dan 43 tahun pada 11 Januari lalu.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama, satu pasport Malaysia, satu kad nama dan satu kad ATM," katanya.

Beliau berkata, suspek lekaki tempatan direman selama tiga hari bermula semalam hingga esok, manakala wanita warga asing itu direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 7:05 PM