ANTARA barang yang dirampas susulan tangkapan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dengan kejadian cabul serta cubaan samun di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan polis
ANTARA barang yang dirampas susulan tangkapan seorang lelaki warga asing yang dipercayai terbabit dengan kejadian cabul serta cubaan samun di sebuah kondominium di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam. FOTO Ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita dan cuba menyamun di sebuah kondominium di Kota Damansara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita yang berusia 51 tahun jam 8.50 malam, Isnin lalu.

Katanya, mangsa mendakwa dicabul suspek ketika mahu masuk ke dalam rumahnya di kondominium berkenaan jam 8.20 malam.

"Bertindak atas maklumat, kami menahan seorang lelaki warga asing berusia 26 tahun di hadapan pos pengawal keselamatan kondominium terbabit jam 5.30 petang, semalam.

"Kami turut merampas beberapa barangan termasuk pakaian suspek dalam tangkapan itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan awal mendapati suspek berkenaan tidak bekerja dan penyewa di kondominium terbabit.

"Hasil soal siasat dilakukan suspek mengaku terbabit dalam kejadian cabul berkenaan serta mengaku terbabit dengan satu kes cubaan samun di hadapan sebuah rumah di kawasan kondominium berkenaan.

"Dalam kes cubaan samun itu, mangsa adalah seorang wanita yang bekerja sebagai juruaudit berusia 24 tahun dan sudah membuat laporan berhubung kejadian terbabit pada Ahad lalu," katanya.

Katanya, suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan serta Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba melakukan rompakan.

#kw cabul, samun, warga asing, wanita, kondominium, Petaling Jaya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 6:05 PM