Cecair perisa vape yang dirampas. FOTO Ihsan polis.
Cecair perisa vape yang dirampas. FOTO Ihsan polis.
Ahmad Hasbi


Tampin: Sebuah premis menjual rokok elektronik (e-cigarate) atau vape di kawasan Felda Pasir Besar, Gemas, di sini, dikesan menjual cecair perisa lalok peranti berkenaan yang dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin.

Susulan itu, satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin dilakukan di premis berkenaan jam 8.23 malam, 10 Januari lalu yang menemui lima botol cecair lalok itu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, serbuan kedua pada hari sama di sebuah rumah di Felda Pasir Besar turut menemui 28 botol lagi cecair sama dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM6,800.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota BSJND Tampin membuat serbuan di sebuah kedai menjual alat e-cigarate di kawasan Felda Pasir Besar, jam 8.23 malam Selasa lalu.

"Hasil pemeriksaan menjumpai lima botol kecil berwarna hitam yang disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin dengan anggaran isipadu 50 mililiter (ml)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun iaitu pekerja di kedai berkenaan kerana disyaki memiliki cecair disyaki mengandungi dadah berkenaan.

"Susulan serbuan ini, pasukan serbuan dari BSJND Tampin melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan Felda Pasir Besar kira-kira jam 8.30 malam, hari yang sama.

"Hasil pemeriksaan menjumpai 28 botol kecil disyaki cecair dadah jenis ketamin anggaran isipadu 280 ml. Kami menahan seorang lelaki berusia 30 tahun iaitu pemilik kedai vape berkenaan di rumah itu.

"Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM6,800. Hasil siasatan awal mendapati cecair vape itu dijual di sekitar Pekan Pasir Besar," katanya.

Anuwal berkata, ketiga-tiga suspek termasuk seorang penjawat awam direman selama empat hari bermula Rabu dan dijangka akan dituduh di Mahkamah Majistret Tampin, pada Jumaat ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 5:13 PM