TENGKU Azizul Rahman kerugian selepas tanaman padinya di
TENGKU Azizul Rahman kerugian selepas tanaman padinya di
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Seramai 2,332 pesawah dan pekebun nanas di Pekan kerugian lebih RM5.4 juta selepas tanaman mereka ditenggelami banjir pada 15 hingga 27 Disember lalu.

Mereka yang terjejas membabitkan 2,278 pesawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan di enam skim dengan kawasan tanaman seluas 4,918 hektar dan 54 pekebun mengusahakan seluas 42.8 hektar kebun nanas di Kampung Cenderawasih, Sungai Miang.

Pengarah Jabatan Pertanian Pahang Muhd Rizal Baharom berkata, pesawah yang terjejas berpeluang menerima bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) daripada kerajaan antara RM876 hingga RM1,800 sehektar dengan maksimum tiga hektar sahaja.

Beliau berkata, bagi pekebun nanas, mereka layak menerima bantuan di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) sehingga RM45,000 mengikut keluasan projek dengan maksimum tiga hektar sahaja.

"Selepas kelulusan bantuan diterima daripada agensi berkaitan, wang akan dimasukkan ke akaun pekebun dan pesawah bagi memberi peluang kepada mereka memulakan semula projek masing-masing.

"Pekebun dan pesawah yang tanaman mereka musnah turut berpeluang mendapat bantuan input pertanian dan kerja membajak sawah daripada jabatan pertanian dan IADA," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hujan berterusan sejak November hingga Disember tahun lalu menyebabkan berlakunya banjir di kawasan terbabit hingga mencapai setinggi kira-kira satu meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 11:47 AM