Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO IHSAN FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. FOTO IHSAN FB SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mahu rakyat memainkan peranan bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat dilaksanakan.

Menerusi kenyataan media yang dimuat naik dalam akaun Facebook Sultan Ibrahim, baginda bertitah berharap kerajaan negeri mengambil keputusan yang bijaksana dan bertindak demi kepentingan rakyat.

"Sebagai Sultan Johor, saya amat mengambil berat akan kebajikan dan keselamatan Bangsa Johor. Saya tidak mahu lagi mendengar kisah sedih keluarga yang kehilangan ahli mereka yang tersayang akibat wabak ini.

"Sekiranya perintah kawalan pergerakan yang ketat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, biarlah ia dilaksanakan buat kali terakhir tetapi berkesan, dengan memastikan orang ramai juga memainkan peranan masing-masing bagi menjayakan peraturan yang dikuatkuasakan.

"Setiap kali apabila kita merasakan bahawa keadaan mula pulih dari penularan Covid-19, namun sebaliknya jumlah kes yang dicatatkan kembali meningkat lagi.

"Umpama mula menimbulkan rasa putus asa dan tiada kepedulian lagi," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, negara sekarang berada pada tahap yang sangat kritikal. Jumlah kes tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dan beberapa negeri, termasuk Johor, kini menjadi negeri berisiko tinggi.

Titah baginda, rakyat tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) walaupun mereka sudah menerima suntikan vaksin terhadap virus terbabit.

"Ingatlah untuk menjaga diri dan satu sama lain, ini kerana sesetengah rakyat memandang ringan SOP dan bersikap seolah-olah wabak itu sudah berakhir.

"Sikap berbahaya ini hanya akan menambah lagi beban kemudahan penjagaan kesihatan kita.

"Walaupun sistem penjagaan kesihatan kita diurus tadbir dengan baik, namun semuanya mempunyai batas. Jika beban yang terpaksa ditanggung menjadi keterlaluan, pasti akan membawa akibat yang tidak dapat dibayangkan.

"Saya harap agensi penguatkuasaan akan bertindak lebih tegas dan adil terhadap mereka yang melanggar SOP ditetapkan. Kita tidak boleh membiarkan keadaan menjadi tidak terkawal, seperti yang sedang berlaku di India sekarang.

"Pengorbanan mesti dibuat untuk kebaikan semua. Jangan kita menyesal kemudian hari, tiada gunanya," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:29 PM