FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menegaskan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pengembara dari luar negara termasuk China bukan langkah tepat dan berkesan buat masa ini.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata soal keselamatan dan kesihatan rakyat tegap menjadi keutamaan, namun perlu diseimbangkan dengan faktor ekonomi yang turut penting untuk negara.

"Setakat ini kita masih kekal dengan status quo dan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

"Jika ada perubahan situasi dan keperluan mendesak, sudah tentu kita akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) secara khusus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiong berkata, mengikut fakta, Amerika Syarikat (AS) mencatatkan 99 juta jangkitan dan 1.08 juta kematian akibat Covid-19 manakala China 31,000 kematian dengan 10.16 juta kes positif.

"Sebab itu jika kita lihat, negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Kemboja tidak memperketatkan kemasukan pengembara dari China.

"Pada masa sama timbul persoalan mengenai kedatangan pengembara dari Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan Perancis yang turut merekodkan jumlah jangkitan tinggi.

"Jika mengambil kira penduduk China seramai 1.4 bilion, kadar kematian akibat wabak ini ialah 0.002 peratus.

"Kes jangkitan Covid-19 di Malaysia pula 5.02 juta dengan 0.7 peratus kematian direkodkan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia sudah menerima kemasukan pengembara dari seluruh dunia lebih awal sebelum ini walaupun mereka datang dari negara yang memiliki rekod jangkitan Covid-19 yang tinggi.

"Kita bersyukur, kerana situasi penularan Covid-19 di Malaysia boleh dianggap terkawal. Malah China juga sudah melepasi fasa lonjakan jangkitan Covid-19, maka itu mengetatkan SOP sedia ada bukanlah langkah tepat serta berkesan pada ketika ini.

"Angka RM30 bilion yang saya nyatakan sebelum ini adalah bagi menunjukkan betapa besarnya nilai ekonomi bagi sektor pelancongan yang secara khusus membabitkan negara China.

"Ini juga seiring dengan ramalan peningkatan pengembara China ke Malaysia dari tiga juta pada tahun 2019 kepada kira-kira enam juta tahun ini," katanya.

Tiong berkata, soal diskriminasi perlu dipandang serius dan beliau juga membandingkan negara selain China, yang juga berupaya menjadi negara berisiko tinggi penularan wabak di negara ini.

"Apa yang saya bangkitkan sebelum ini adalah bertujuan memastikan negara tidak mendiskriminasi pengembara dari mana-mana negara sekalipun termasuk China.

"Ini penting demi memelihara hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara luar, lebih-lebih lagi rakan perdagangan Malaysia.

"Langkah mendiskriminasi mana-mana negara tidak seharusnya berlaku kerana ia bukan sahaja menjejaskan hubungan diplomatik, tetapi juga memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara terutamanya di saat negara sedang beransur pulih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 10:21 AM