SEMBILAN suspek yang ditahan pihak polis selepas didapati menjalankan aktiviti laga ayam. Foto ihsan polis.
SEMBILAN suspek yang ditahan pihak polis selepas didapati menjalankan aktiviti laga ayam. Foto ihsan polis.
Erika George


Bangkai tiga ayam jantan mati disabung, termasuk lima ayam masih hidup adalah antara barang rampasan hasil serbuan ke atas aktiviti sabung ayam di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu, Sarawak, semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata, dalam serbuan jam 4.45 petang itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), turut menahan lapan lelaki tempatan dan seorang warga asing.

“Kesemua yang ditahan berusia 27 hingga 60 tahun. Semua mereka didapati leka melakukan aktiviti sabung ayam di kawasan hutan berdekatan penempatan setinggan.

“Ketika serbuan dilakukan, mereka cuba melarikan diri namun dapat dicekup pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataannya tadi.

Zulkipli berkata, wang tunai sebanyak RM152 dipercayai duit pertaruhan, papan tulis dan alat penimbang juga dirampas.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan dikenakan ditahan reman sehingga 14 Mei ini.

“Jika disabit salah, kesemua suspek berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM1000 atau penjara 3 bulan. Seorang suspek lelaki warga asing juga akan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c ) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 12:32 PM