Noor Hidayah Tanzizi


Ampang: Kerajaan memberi jaminan akan berusaha melindungi dan membantu industri kecil dan sederhana (IKS) dalam berhadapan cabaran ekonomi susulan laporan peningkatan kes Covid-19 di beberapa wilayah di China yang dibimbangi akan menjejaskan ekonomi tahun hadapan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, setakat ini semua keputusan yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan sejak sebulan lalu semua ke arah melindungi dan membantu IKS dan rakyat.

Menurutnya, ia membabitkan usaha dari aspek tarif elektrik selain penurunan tarif gas seperti diumumkan minggu lalu.

"Bergantung kepada sama ada IKS itu menggunakan bekalan gas ataupun tidak, jadi setakat ini pendekatan kerajaan ialah seberapa yang dalam kemampuan kerajaan, kita akan lindungi dan membantu IKS sebanyak mungkin.

"Tapi sudah tentu kita pantau dengan teliti rantaian nilai itu, kita kena tengok dengan terperinci kerana ia akan bermula daripada pengimport sama ada kalau sesuatu berlaku dekat China atau negara lain kita kena tengok dengan terperinci dari segi rantaian nilai (dan) kesan.

"Tetapi apa-apa yang berada di dalam kawalan kerajaan contoh barang utama di bawah kawalan harga contohnya tarif tenaga dan tarif lain memang setakat ini keputusannya ialah untuk kita melindungi IKS seberapa banyak yang mungkin," katanya pada Kenduri Rakyat dan Penyerahan Sumbangan Back To School Parlimen Pandan di Dewan Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, di sini, hari ini.

RAFIZI pada sidang media di program Kenduri Rakyat di Dewan Perbandaran MPAJ. FOTO Saifullizan Tamadi
RAFIZI pada sidang media di program Kenduri Rakyat di Dewan Perbandaran MPAJ. FOTO Saifullizan Tamadi

Beliau berkata, kerajaan juga akan memantau dengan lebih terperinci berkenaan perkembangan ekonomi susulan situasi Covid-19 ketika ini kerana sebagai sebuah negara dagangan sudah tentu segala yang berlaku dalam dunia akan memberi kesan kepada negara.

"China adalah negara ekonomi kedua terbesar di dunia jadi sebab itu kita kena perhatikan dengan dekat bagaimana perkembangan keadaan Covid-19 negara itu sebab kalau tengok dalam dua tahun lalu banyak perkara yang berlaku di China ada kesan besar kepada seluruh dunia termasuk Malaysia.

"Ia termasuk kenaikan mendadak harga barang tertentu kerana kebanyakan aktiviti perkilangan (dan) barang semua itu banyak keluar masuk di China. Kalau keadaan Covid-19 di China ada kesan kepada ekonomi di China sudah tentu ada juga kesan pada negara kita," katanya.

Rafizi berkata, di peringkat kementerian, perkara itu sudah dipantau sejak penularan virus, dua tahun lalu dan ia juga diambil kira pengusaha dan syarikat di negara ini.

"Jadi saya ingat dari segi ekonomi, banyak pengusaha kita memang mengikuti dengan dekat apa yang berlaku di China dan pengalaman dua tahun lalu ditambah baik dari segi perancangan oleh syarikat kita.

"Kita memantau dan bekerjasama dengan dekat untuk kita perkuatkan lagi sebarang tindakan yang kita boleh diambil untuk mengurangkan kalau ada kesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 4:32 PM