Noor Hidayah Tanzizi

Ampang: "Saya tidak berniat atau mempunyai rancangan untuk membuat komen politik kepada orang politik yang buat komen seperti (Datuk) Wan Saiful Wan Jan," kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi menyifatkan apa yang diutarakan Wan Saiful itu sebagai pandangan masing-masing, namun beliau memilih untuk tidak membalas komen politik pihak lawan.

"Contoh kalau komen daripada penduduk Pandan dengan komen Wan Saiful, saya lebih beri perhatian pada komen penduduk Pandan. Wan Saiful ini dia ada dalam kerajaan selama lima tahun (sebelum ini).

"Dia juga menjaga PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) selama lima tahun. Dia juga menjadi sebahagian orang kanan mantan Perdana Menteri ke lapan dahulu," katanya ditemui media pada Majlis Kenduri Rakyat Parlimen Pandan di sini, hari ini.

Oleh itu katanya, beliau yakin rakyat boleh membuat sendiri perbezaan terhadap watak seperti Wan Saiful mengeluarkan kenyataan itu.

Beliau juga berkata, kenyataan itu juga tidak memberi kesan kepadanya dan menyifatkan orang politik terlalu ghairah untuk menghukum dengan cepat adalah yang sebenarnya akan berhadapan dengan pandangan rakyat.

RAFIZI ketika bercakap kepada media di program Kenduri Rakyat di Dewan Perbandaran MPAJ. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
RAFIZI ketika bercakap kepada media di program Kenduri Rakyat di Dewan Perbandaran MPAJ. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

"Saya ada kerangka ekonomi dan rancangan ekonomi yang perlu dilaksanakan dengan baik, ada perkara yang saya akan bawa kepada rakyat secara berdepan, ada perkara yang saya kena susun secara perancangannya lebih panjang.

"Akhirnya saya serahkan pandangan ini kepada rakyat dan terima dengan terbuka. Bagi saya apabila diberi amanah ini, tanggungjawab adalah untuk memenuhinya (mengambil langkah penyelesaian rakyat).

"Ada benda yang boleh diputuskan dalam jangka masa pendek, ada yang memerlukan perancangan yang panjang sama ada dalam tempoh lima atau 10 tahun.

"Ada benda yang rakyat nampak (hasilnya secara terus) ada yang rakyat hanya nampak dalam dua, tiga tahun akan datang," katanya.

Dalam pada itu, mengenai jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU)2022 pada Januari depan, Rafizi berkata, setakat ini beliau belum dimaklumkan mengenai perkara itu dan ia perlu ditanya kepada Setiausaha Agung PKR.

Katanya, sekiranya PKR menerima jemputan rasmi dari pihak berkenaan untuk perhimpunan itu, perkara berkenaan akan dibawa ke Biro Politik untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 6:56 PM