Mohamed Farid Noh dan Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menikmati sajian makan tengah hari bersama pengunjung di sebuah kedai makan di Kampung Melayu Majidee.

Perdana Menteri yang tiba kira-kira jam 12.05 tengah hari, meluangkan masa kira-kira 25 minit menjamu selera sebelum bergerak ke Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi untuk menunaikan solat Jumaat.

Sebaik tiba di masjid berkenaan yang hanya kira-kira 40 meter dari kedai makan, Anwar menandatangani plak perasmian masjid berkenaan.

Anwar dilaporkan pernah merasmikan pembukaan Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi pada 21 April, 1995 ketika beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Turut menemani beliau, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ia adalah kunjungan pertama Anwar ke Johor sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan kemudian menyertai ribuan jemaah di Masjid Jamek Kampung Melayu Majidi untuk solat Jumaat, selain beramah mesra dengan orang ramai.

PERDANA Menteri menjamu selera sebelum bergerak ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
PERDANA Menteri menjamu selera sebelum bergerak ke Masjid untuk menunaikan solat Jumaat. FOTO Nur Aisyah Mazalan.

Terdahulu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun dilaporkan memulakan lawatan kerja di negeri ini dengan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene di sini, pagi ini.

Beliau yang tiba di pekarangan istana pada jam 9.30 pagi itu dilihat menaiki kenderaan jenis Audi berwarna keemasan dan sempat mengangkat tangan ke arah pengamal media.

Ketibaan beliau disambut Onn Hafiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di sini, pada jam 9.55 pagi.

Sultan Ibrahim sebelum itu tiba di istana berkenaan pada jam 9.34 pagi dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim pula tiba 10 minit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 1:17 PM