ANWAR Ibrahim memilih menu makan tengah hari di Medan Selera Sports Arena hari ini. FOTO Bernama
ANWAR Ibrahim memilih menu makan tengah hari di Medan Selera Sports Arena hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Cyberjaya: Set nasi putih dengan ikan bakar menjadi pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menjamu selera bersama pengunjung di Foodcourt Sports Arena Cyber 6 di sini, hari ini.

Menikmati makan tengah hari sambil beramah mesra dengan pengunjung sebelum menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran menjadi rutin mingguan Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu.

Beliau yang tiba di medan selera itu 1.07 tengah hari disambut Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha Majlis Perbandaran Sepang Muhamad Shah Osmin, sebelum menjamu selera sambil menyantuni pengunjung yang turut berswafoto dan merakam gambar kenang-kenangan dengannya.

Kira-kira 15 minit di medan selera itu, beliau dilihat mencuba beberapa menu makanan lain, antaranya daging masak kicap dan ulam-ulaman.

Usai makan tengah hari, Anwar bergerak ke Masjid Raja Haji Fisabilillah yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari Foodcourt Sports Arena untuk menunaikan solat Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 2:29 PM