Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan mungkin dibuat sebelum hujung tahun ini.

Perkara itu dinyatakan Anwar ketika menyantuni seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menantikan Anwar bersama pengamal media selepas menunaikan solat Jumaat Surau Putra Al-Amin Fasa 4 di sini, hari ini.

Anwar ketika berhenti di hadapan pengamal media tiba-tiba bertanyakan kepada kanak-kanak terbabit apa soalan yang mahu ditanya.

Kanak-kanak terbabit, Akmal Afif Yasser Arafat, kemudiannya mengulangi soalan yang diutarakan pengamal media berkaitan rombakan Kabinet kepada Perdana Menteri.

Akmal: Datuk Seri, bila rombakan Kabinet?
Anwar: Nama apa?
Akmal: Nama saya Akmal Afif.
Anwar: Akmal cadang bila? Sebelum ke selepas 2024?
Akmal: Sebelum 2024.
Anwar: Dia jawab sebelum 2024. Saya setuju.

Terdahulu, Akmal Afif, murid Sekolah Kebangsaan Presint 8 (2) bersama lapan rakannya menantikan Anwar untuk mendapatkan tandatangan daripada Perdana Menteri.

Keterujaan kanak-kanak itu jelas kelihatan apabila Anwar berhenti seketika bertanyakan khabar mereka dan menantangani wang kertas RM1 dan RM5 dibawa kanak-kanak berkenaan.

Anwar sebelum itu menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 2,000 jemaah di surau berkenaan.

Hadir sama menunaikan solat bersama Perdana Menteri ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar.

Beliau turut meluangkan masa kira-kira setengah jam menjamu selera di pekarangan surau dan beramah mesra dengan jemaah.

Sementara itu, kanak-kanak terbabit ketika ditemui menyatakan rasa gembira kerana dapat mengajukan soalan kepada Perdana Menteri.

Malah, Akmal Afif memaklumkan dia tidak sabar untuk memberitahu kepada ibunya berkaitan perkara itu.

"Saya tak sabar nak balik, nak beritahu ibu dapat temubual Perdana Menteri,".

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama adik, Akmal Afif Yasser Arafat, 12 ketika ditanya pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama adik, Akmal Afif Yasser Arafat, 12 ketika ditanya pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 3:48 PM