PANGLIMA Tentera Darat Tan Sri Zamrose Mohd Zain. FOTO Bernama
PANGLIMA Tentera Darat Tan Sri Zamrose Mohd Zain. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) diisytihar sebagai Batalion Infantri Istiadat bermula hari ini.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, 1 RRD akan menyempurnakan tugasan penuh bersama-sama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) membabitkan Istiadat Diraja.

Beliau berkata, tugas berkenaan termasuk Kawalan Diraja Berkuda, Pengiring Diraja Berkuda dan Pengawal Berkuda Diraja yang sebelum ini dikendalikan penuh Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Briged) itu.

Bermula pada 2001, pasukan 1 RRD melakukan penugasan istiadat bagi membantu 12 Briged memenuhi keperluan penugasan yang dipertanggungjawabkan.

"Cetusan idea ini muncul setelah mengambil kira pengalaman dan kejayaan pasukan dalam menyempurnakan penugasan membabitkan istiadat," katanya kepada pemberita pada Majlis Perbarisan 1 RRD di Kem Wardieburn, Jalan Genting Klang, di sini.

Zamrose berkata, 1 RRD di bawah 4 Divisyen Infantri sebelum ini lebih tertumpu kepada penugasan operasi di kawasan terbina, operasi ketenteraman awam serta pelaksanaan tugas-tugas istiadat selain melaksanakan tugas sebagai Batalion Infantri Standard.

"Dalam memenuhi keperluan Markas 12 Briged yang sinonim sebagai Briged Istiadat, 1 RRD selaku salah sebuah Batalion Infantri di bawahnya secara rasmi ditransformasikan kepada Batalion Infantri Istiadat," katanya.

1 RRD berpusat di Kem Wardieburn, di sini, mempunyai kekuatan anggota seramai 650 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 7:19 PM