ANTARA dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM.
ANTARA dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Seorang lelaki yang aktif menjual dadah melalui aplikasi WeChat akhirnya ditahan polis, semalam bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM371,075.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek yang berusia 28 tahun itu ditahan jam 12.15 tengah malam, di sekitar bandar raya ini.

Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek turut positif dadah selain mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan penyalahgunaan dadah.

"Modus operandi digunakan suspek adalah dengan mengiklankan bahan terlarang itu menggunakan aplikasi WeChat sebelum menghantar dadah yang disimpan di dalam sebuah kenderaan jenis Proton Saga kepada pelanggan di sekitar bandar raya ini.

"Siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif dengan kegiatan seumpama ini sejak Oktober lalu," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Raub berkata, ketika serbuan dibuat, polis turut merampas 6.85 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 145 biji pil ekstasi dan 74 gram (g) ketamin dengan bernilai RM371,075.

"Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 35,795 penagih.

"Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas kenderaan digunakan suspek bernilai RM15,000 dan wang tunai sebanyak RM400, menjadikan keseluruhan rampasan berjumlah RM386,475," katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 2:14 PM