Amir Abd Hamid


SEPASANG kekasih warga tempatan dan Thailand antara tiga ditahan membabitkan rampasan pelbagai dadah bernilai hampir RM800,000 diiklan menerusi WeChat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pelbagai dadah itu dipercayai boleh dibekalkan kepada 196,800 penagih jika dipasarkan.

Menurutnya, antara dadah dirampas adalah 6,691 gram serbuk ekstasi, 1,802 pil ekstasi, 270,816 gram cecair ekstasi dan 80 batang rokok ganja.

“Berdasarkan maklumat, operasi khas dijalankan pada 10.50 pagi 20 Januari lalu oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di kawasan kondominium di Taman Shamelin Perkasa.

“Di kawasan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun dalam kereta sebelum pemeriksaan lanjut menemui serbuk ekstasi seberat tiga kilogram.

“Selepas soal siasat, suspek kemudian membawa polis untuk serbuan kedua pada 1.50 petang di kondominium kawasan Kajang,” katanya dalam sidang media di IPD Cheras, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, di unit kondominium kedua itu polis menahan seorang lelaki tempatan, 27, dan seorang wanita Thailand, 29, dipercayai pasangan kekasih.

Pemeriksaan lanjut di unit kondominium itu, katanya, menemui 1,802 pil ekstasi, 270,816 cecair ekstasi, 3,636 gram serbuk ekstasi dan 80 rokok ganja.

“Dalam kedua-dua serbuan ini, sebuah kereta bernilai RM26,300, wang tunai berjumlah RM4,181 dan sejumlah mata wang asing turut disita,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Mokhsein berkata, suspek berkenaan menggunakan aplikasi WeChat bagi menjual dadah berkenaan.

Katanya, khidmat penghantaran dadah bukan sahaja di ibu negara malah Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Iklan di aplikasi WeChat antaranya berbunyi ‘Order sekarang hantar sekarang’ dan ‘air bubble yang sedap’ tak ubah seperti perkhidmatan penghantaran makanan.

“Siasatan awal mendapati sebotol cecair ekstasi dijual antara RM200 hingga RM300,” katanya.

Menurutnya, suspek pertama bekerja sebagai ejen hartanah direman selama enam hari manakala dua lagi suspek ditahan remam selama tujuh hari masing-masing bermula semalam.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 3:01 PM
MOHAMED Mokhsein (tiga kanan) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media. FOTO Asyraf Hamzah
MOHAMED Mokhsein (tiga kanan) menunjukkan barang rampasan ketika sidang media. FOTO Asyraf Hamzah