LALUAN utama di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran bandar Permaisuri yang dinaiki air semalam. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
LALUAN utama di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran bandar Permaisuri yang dinaiki air semalam. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Enam hospital dan puluhan klinik kesihatan di Kelantan dan Terengganu terjejas akibat banjir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Nood Hisham Abdullah.

Hospital itu ialah Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) dan Hospital Tengku Anis di Kelantan, manakala empat di Terengganu iaitu Hospital Kemaman, Hospital Besut, Hospital Setiu, dan Hospital Hulu Terengganu.

Bagaimanapun katanya, semua perkhidmatan di HRPZ II masih beroperasi seperti biasa meskipun bangunan dimasuki air.

"Perkhidmatan Makmal dan Perkhidmatan Pengimejan dan Diagnostik di HTA diberhentikan sementara waktu. Penutupan bekalan kuasa dalaman dilakukan bagi melindungi peralatan daripada kerosakan akibat litar pintas telah dilakukan oleh pihak hospital.

"Sebarang keperluan perkhidmatan terbabit akan dirujuk ke hospital berdekatan iaitu HRPZ II dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 19 pesakit HTA dipindahkan ke HRPZ II dan HUSM kerana dikhuatiri paras air banjir meningkat pada bila-bila masa.

"Pemindahan pesakit ini diuruskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kelantan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kawasan Jabatan Kecemasan dan Dewan Bersalin, Hospital Kemaman dilimpahi air banjir pada malam Ahad lalu, namun surut keesokan harinya.

"Peningkatan paras air mendadak di kawasan berhampiran Hospital Besut, Hospital Setiu, dan Hospital Hulu Terengganu menyebabkan laluan ke hospital dan kawasan sekitar terputus dan hanya dapat dilalui menggunakan kenderaan air atau udara.

"Bagaimanapun, hospital ini sudah bersedia untuk menghadapi bencana banjir dengan keperluan bekalan perubatan, makanan dan pakai buang yang mencukupi," katanya.

Beliau turut memaklumkan 32 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Kelantan iaitu 22 klinik desa dan 10 klinik kesihatan, dengan tujuh daripadanya masih beroperasi, 22 pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif dan tiga tidak beroperasi.

"Sebanyak 40 fasiliti kesihatan terjejas banjir di Terengganu iaitu 27 klinik desa, lima klinik kesihatan, empat klinik pergigian, tiga Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan satu Unit Vektor di Jabatan Kesihatan Negeri.

"Daripada jumlah ini, sebanyak 19 fasiliti kesihatan masih beroperasi, enam pindah operasi ke fasiliti kesihatan alternatif, dan 15 tidak beroperasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 12:30 PM