BANGIE bersama Sijil Tokoh Kraf Negara 2024 yang diterimanya.
BANGIE bersama Sijil Tokoh Kraf Negara 2024 yang diterimanya.
Oleh Suliati Asri


Kuala Lumpur: Anugerah Tokoh Kraf Negara merupakan pengiktirafan kepada pengusaha kraf berkemahiran tinggi yang banyak memberi sumbangan dalam usaha memulihara, memelihara dan memartabatkan seni kraf warisan negara.

Selain itu, ia juga memberi galakan dan semangat kepada pengusaha kraf berkemahiran tinggi supaya lebih kreatif, inovatif dan produktif agar dapat mempertahankan seni kraf tempatan di samping menyumbang kepada perkembangan sosioekonomi negara.

Sehingga 2022, seramai tujuh orang Tokoh Kraf Negara diiktiraf dalam bidang ukiran kayu, logam perak, tekatan benang emas, tenunan songket, seramik dan ukiran halus.

Penganugerahan ini dilaksanakan melalui proses pencalonan dan pemilihan berdasarkan kriteria penganugerahan iaitu kepakaran dan keintelektualan, sumbangan ke arah kelestarian industri kraf, serta pengiktirafan dan anugerah yang diperoleh calon. Pencalonan adalah terdiri daripada Adiguru Kraf yang dilantik Kraftangan Malaysia.

Tahun ini, Anugerah Tokoh Kraf Negara diberikan kepada Bangie Anak Embol, 78, yang berpengalaman selama 68 tahun dalam seni kraf tenunan pua.

Bangie bersyukur dan teruja dengan penghargaan yang diberikan kerana selama ini dia tidak pernah berharap akan menerima pengiktirafan tertinggi itu sekali gus menjadi pemangkin semangat untuk terus berkongsi kepakarannya terutama dengan generasi muda.

Beliau merupakan generasi ke lima yang meneruskan perusahaan tenunan pua dan kepakarannya telah diturunkan kepada anak menantu serta lapan orang cucu.

"Tenunan pua ini sangat unik kerana ia mempunyai kehalusan dan ketelitian reka corak yang sukar selain menggabungkan motif flora, fauna dan figura.

"Setiap tenunan pua yang hasilkan juga mempunyai penceritaan tersendiri kerana ia diterjemah dari mimpi dan mengikut imaginasi saya.

ANWAR tertarik dengan hasil kreatif yang dihasilkan oleh Bangie.
ANWAR tertarik dengan hasil kreatif yang dihasilkan oleh Bangie.

"Saya berharap hasil kraf tenunan pua ini akan semakin berkembang dan dikenali ramai serta dapat menjana pendapatan kepada komuniti setempat terutama masyarakat Iban," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024.

Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan, Dato' Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Setiusaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk 'Ainu Sham Ramli.

Pameran produk hasil tangan Tokoh Kraf Negara boleh disaksikan di reruai pameran HKK 2024.

HKK 2024 adalah penganjuran kali ke-21 dengan membabitkan penyertaan seramai 640 usahawan kraf daripada bidang kraf tekstil, hasil logam, hasil rimba, hasil tanah dan aneka kraf.

Berkonsepkan 'Kraf Identiti Malaysia', HKK 2024 memaparkan elemen keunikan dan keaslian produk kraf Malaysia yang baharu menerusi reka bentuk produk daripada elemen kebudayaan masyarakat tempatan.

Penganjuran HKK 2024 turut dimeriahkan dengan Festival Kraf Kebangsaan (FKK) 2024 di pusat beli-belah terpilih di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak bermula 23 Februari sehingga 21 April 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 7:01 AM