FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lelaki yang ditahan kerana disyaki mendera anaknya hingga meninggal dunia sebelum menanam mayat kanak-kanak itu berhampiran sebuah tempat riadah di sini minggu lalu disambung reman selama lima hari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya memaklumkan suspek berusia 40 tahun itu disambung reman sehingga 23 Disember ini selepas tempoh reman terhadapnya selama tujuh hari sebelum ini, tamat semalam.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan perbuatan kejam suspek itu terbongkar selepas polis menerima aduan isteri suspek pada 9 November lalu memaklumkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun didera oleh suaminya.

Isteri suspek yang juga seorang warga asing berusia 41 tahun membuat laporan selepas mendapati anak yang berusia sembilan tahun dalam keadaan lemah dan darah keluar dari mulutnya sebaik pulang bekerja kira-kira jam 7 malam pada 9 November lalu.

Malah, kanak-kanak berkenaan juga dipercayai didera menggunakan tali pinggang, disimbah dengan air panas selain dicekik, dipijak serta dipukul dengan tangan.

Dellhan dipetik berkata, hasil soal siasat ke atas suspek yang juga seorang penganggur, mengaku menanam mayat anaknya di tepi jalan Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy di sini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 11:29 AM