Penduduk Kampung Chawas, Shukri Ismail, 55, (kanan) dibantu penduduk setempat menolak keluar keretanya untuk dipindahkan ke tempat yang tinggi berikutan kampung terbabit dinaiki air banjir awal pagi tadi. FOTO BERNAMA
Penduduk Kampung Chawas, Shukri Ismail, 55, (kanan) dibantu penduduk setempat menolak keluar keretanya untuk dipindahkan ke tempat yang tinggi berikutan kampung terbabit dinaiki air banjir awal pagi tadi. FOTO BERNAMA
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tujuh daerah di Kelantan dilanda banjiryang membabitkan 3,783 mangsa berbanding 2,313 orang setakat jam 1 tengah hari tadi.

Kota Bharu dan Pasir Puteh adalah daerah terbaru yang dilanda banjir selepas beberapa kampung dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan.

Menurut laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my, mangsa banjir daripada 1,122 keluarga ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas, Machang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Mereka ditempatkan di 13 PPS di Tanah Merah, sembilan PPS di Kuala Krai, tujuh di Pasir Mas, masing-masing tiga di Machang dan Pasir Puteh, dua di Jeli dan satu di Kota Bharu.

Mangsa banjir yang ditempatkan di Pasir Mas termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh seramai 712 orang dan SK Gual Periok dengan jumlah 510 orang.

Jumlah mangsa banjir di Tanah Merah berada di PPS termasuk di SK Bendang Nyior seramai 183 orang, SK Kelewek (212 orang) dan SK Batang Merbau (69 mangsa).

Selain itu, mangsa banjir di Kuala Krai ditempatkan di Balai Raya Kampung Mia dengan jumlah 165 orang, Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A seramai 90 orang dan

Madrasah Chuchuh Puteri A dengan jumlah 51 orang.

Mangsa banjir juga ditempatkan di PPS Jeli iaitu SK Legeh (88 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas (16 orang), manakala di Machang di SK Hamzah 1 (84 mangsa), SK Dewan Besar (207 orang) dan SK Tok Bok (12 orang).

Di Pasir Puteh pula, mereka ditempatkan di SK Changgai (109 orang), Dewan Kompleks Kamil (77 orang) dan SK Wakaf Raja seramai 19 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 5:37 PM