Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Keadaan banjir di Kelantan semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 2,313 orang setakat jam 1 tengah hari berbanding 1,663 mangsa pada 10.30 pagi tadi.

Mangsa ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Laman web infobencanajkmv2.jkm.gov.my melaporkan, jumlah mangsa banjir daripada 684 keluarga itu masing-masing ditempatkan di enam PPS di Pasir Mas, lapan di Tanah Merah, tiga di Kuala Krai, dua di Jeli dan satu di Machang.

Mangsa banjir di Pasir Mas termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh seramai 712 orang dan SK Gual Periok dengan 502 orang.

Selain itu, mangsa banjir di Tanah Merah termasuk di SK Bendang Nyior seramai 159 orang dan SK Kelewek (93 orang) serta SK Batang Merbau (43 mangsa).

Sementara itu, mangsa banjir di Kuala Krai pula ditempatkan di Balai Raya Kampung Mia dengan jumlah 165 orang, Madrasah Kampung Sepuluh (37 orang) dan Masjid Abu Bakar Tanjong Kala (26 mangsa).

Selebihnya, mereka ditempatkan di PPS Jeli iaitu SK Legeh (44 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas (16 orang) serta Machang di SK Hamzah 1 (39 mangsa).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 1:43 PM
PENDUDUK meredah banjir untuk menyelamatkan barangan di Kampung Kubang Kual ke Jalan Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PENDUDUK meredah banjir untuk menyelamatkan barangan di Kampung Kubang Kual ke Jalan Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar